Wednesday, July 2, 2014

Tips Menyusu Ketika Berpuasa

Assalamualaikum ...

Kerisauan ibu-ibu yang menyusukan anak ketika bulan puasa adalah bimbang pengeluaran susu berkurangan untuk stok si manja. Pelbagai persoalan bermain di kepala sebelum kedatangan bulan Ramadhan. Bolehkah saya berpuasa? Adakah susu saya akan berkurangan? Nak makan apa untuk berbuka da bersahur?

Adakah anda juga ibu-ibu yang pertama kali menyusu yang berada dalam dilema berikut. Jangan risau! Hakikatnya anda boleh terus berpuasa penuh tanpa perlu risau kekurangan pengeluaran susu tetapi dengan syarat perlu mematuhi garis panduan berikut:



Rahsia Penyusuan Ketika Berpuasa

1) Disiplin waktu makan

Ibu menyusu memerlukan kalori tambahan sebanyak 700 kalori sehari. Sebanyak 500 kalori diambil daripada makanan ibu dan 200 kalori diambil daripada lemak dalam tubuh ibu. Oleh itu walaupun berpuasa, pastikan tetap makan tiga kali sehari iaitu sahur, berbuka dan sebelum masuk tidur.


2) Kurma,kurma,kurma

Makanan sunnah ini terkenal sebagai sumber tenaga segera kepada badan. Kurma kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A & C serta zat mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potassium. Maka, jangan sesekali tinggalkan buah kurma sepanjang berpuasa. Ia amat sesuai untuk ibu menyusu.


3) Makanan seimbang dan suplemen

Pastikan ibu berbuka dan bersahur dengan mengambil makanan seimbang seperti karbohidrat, protein dan lemak. Contoh makanan seperti nasi atau mee semasa berbuka dan bersahur, roti, biskut, kuih-muih sebelum tidur. Pengambilan supleman untuk ibu menyusu turut membantu memberi tenaga dan mengekalkan penghasilan susu.



4) Minum banyak air

Keperluan cecair oleh ibu menyusu sangat tinggi. Sebanyak dua liter diperlukan sehari. Bagaimana hendak minum banyak sedangkan seharian berpuasa? Mulakan minum air masak sejak berbuka sehingga bersahur dan menjelang imsak. Tip mudah, letakkan sebotol air di tepi katil supaya anda boleh minum pada bila-bila masa sepanjang malam. Selain air masak, minuman yang disarankan adalah jus buah-buahan, minuman bersusu dan berbijirin. Elakkan minuman berais terutama ketika berbuka dan bersahur kerana menyebabkan kita cepat dahaga. Minuman suam membantu melancarkan pengeluaran susu ibu.


5) Bertenang dan yakin

Secara psikologi, minda anda turut mempengaruhi penghasilan susu ibu. Oleh itu jangan terlalu tertekan memikirkan susu akan berkurangan. Tekanan akan mempengaruhi hormon oksitosin yang mengeluarkan susu ibu. Banyakkan berdoa agar segalanya dipermudahkan Allah.


6) Kerap menyusu dan mengepam
Ibu perlu ingat dengan formula semakin kerap bayi menyusu, semakin banyak susu dikeluarkan. Bagi ibu yang bekerja, semakin kerap mengepam, semakin banyak susu dihasilkan. Maksudnya, semakin banyak susu dikeluarkan maka semakin kerap payu dara dikosongkan maka semakin banyak susu akan dihasilkan. Oleh itu walaupun berpuasa tugas mengepam dan menyusukan anak perlu diteruskan. Jangan bimbang susu akan kering, kerana semakin anda tidak mengepam dan menyusukan bayi, susu akan berkurangan sedikit demi sedikit. Kurangnya pengeluaran susu bukan disebabkan ibu berpuasa sebaliknya kurang rangsangan sama ada menyusukan terus atau mengepam.


Credit : pa&ma




No comments:

Post a Comment

terima kasih sudi komen.